Mon. Nov 23rd, 2020

Pertubuhan Penulis Isu-Isu Wanita Nasional

Aku didera suamiku

Saya mendapat mesej dari seorang wanita …. ingin bertemu untuk mengadu sesuatu. Biasanya kalau wanita yang hubungi untuk bertemu, saya akan minta isteri saya untuk turut serta membantu bagi mengelakkan fitnah. Saya tiba di Pasaraya seperti yang dijanjikan dan memperkenalkan isteri saya.

Dia menyingsingkan lengannya dan menunjukkan bekas lebam di tangan akibat di dera oleh suaminya. Panjang juga dia mengisahkan bagaimana suaminya sering memukulnya. Suaminya seorang yang panas baran. Mereka tinggal bersama dengan keluarga suaminya. Rupanya bapa suaminya juga sering memukul ibunya …. agaknya contoh dari bapanya turunkan beliau ini.

Saya ni bukanlah berpengalaman dalam hal rumah tangga ni …. tetapi pernah memegang tanggung jawab Keluarga Islah satu masa dulu … ada juga membaca sedikit berkenaan dengan rumah tangga ini. Saya membuat beberapa cadangan.

“Apa kata, puan banyakkan membaca ayatul Kursi dan Al-Quran di rumah. Ini bagi melemahkan pengaruh syaitan yang selalu menghasut suami dan keluarga. Layan suami dengan baik dan sentiasa berdoa untuk beliau. Jangan lawan cakap beliau.”

Keesokan harinya saya mesej pada si isteri bertanyakan khabar. “Dr ….. dalam masa 24 jam nampak kesannya doktor. Dia tiba-tiba hendak jemput saya dari tempat kerja.” Ya Allah … Engkaulah Yang Maha Berkuasa. Aku ini hanya hambaMu yang lemah. Sesungguhnya Engkaulah Yang mampu mengubah hati manusia.

Beberapa hari berlalu. Maka pada satu hari semasa saya menggerakkan program remaja di Taman, saya menjemput agar anak-anak mereka terlibat sekali. Saya terkejut, bukan hanya isterinya yang menghantar anak-anak, suaminya turut juga menghantar sama. Yang lebih mengejutkan lagi ialah si suami ingin turut serta dalam mendengar ceramah yang saya hendak sampaikan.

Dalam satu slot ceramah, saya menunjukkan klip video Penguin. Saya menceritakan pada anak-anak, bahawa Penguin ini adalah bapa mithali …. betapa si bapalah yang mengeramkan telur selama 4 bulan semasa si ibu sibuk mencari makanan. Dalam hati ini, saya memang menujukan mesej ini pada si suami itu tadi….. secara tidak langsung.

Keesokan harinya saya mendapat mesej dari wanita itu bahawa dia sendiri terperanjat suaminya volunteer nak hantar anak-anak mereka ke program ceramah saya, dan lagi terperanjat apabila dia turut serta dalam ceramah yang saya sampaikan.

Moga mereka hidup aman damai selepas ini. Saya tidak pula mendengar apa-apa berita dari mereka semenjak dari insiden ceramah itu tadi. Sesungguhnya tanggung jawab kita adalah menyampaikan dengan sebaik mungkin. Allah yang merubahkan hati manusia mengikut IlmuNya kerana Allah Maha Mengetahui akan hamba-hambaNya.