Mon. Nov 23rd, 2020

Pertubuhan Penulis Isu-Isu Wanita Nasional

Aku Ingin Terbang

Sajak oleh Dr Umi Kalthum Ngah

Ketika aku diperisteri,
Kusangka cinta indah bersemi,
Berbahagia hari demi hari,
Rupanya kulit berbeza isi,
Saat bahagia dibilang jari.

Janji manis tidak dikotakan,
Dusta dan nista makanan harian,
Tulang belulangku dipatahkan,
Kematu di hatiku retak kehampaan.

Mengapa berpaling daripada tanggungjawab?
Tidakkah takut saat mengadap?
Kala itu, apakah akan kau cakap?
Anggota tubuhmu bakal menjawab!
Pastinya kau akan tersentap,
Tiada upaya meraung dan meratap,
Kerana bibirmu terbisu diketap.

Aku kini sudah mangli,
Masakan tidak, wahai Sang Suami?
Bukan sekali
Malah lebih sejuta kali,
Menanggung derita tidak terperi,
Siksa fizikal, batin dan emosi,
Lebih baik sekiranya aku mati,
Menemui-Mu wahai Ilahi,
Yang Maha Mengasihani.

Namun kutahu,
Tidak seharusnya berperasaan begitu,
Kuperlu perkuatkan hatiku,
Mengangkat tinggi harga diriku,
Yang hanya tinggal sekelumit itu.

Kepompong nestapa bukan tempatku.
Kuperlu gugahkan diriku,
Menobros selongsong dan kabut pilu,
Terbang bebas ke langit nan biru.
Demi masa hadapan anak-anakku,
Merekalah segala-gala bagi diriku