Mon. Apr 19th, 2021

Pertubuhan Penulis Isu-Isu Wanita Nasional

Apa Khabar Mereka?

“APA KHABAR MEREKA?”

KEGANASAN RUMAHTANGGA DALAM TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (MCO) 2020.

Oleh Dr Zairus Norsiah Azahar

Hari ini dunia digoncangkan dengan keganasan makhluk mikroskopik bernama Virus Corona (Covid19). Kita menyaksikan banyak negara di dunia telah menjalankan pelbagai tahap pencegahan bagi mengekang penularan yang lebih parah. Perintah kuarantin untuk kekal duduk di rumah adalah antara langkah-langkah memutuskan rantaian virus Covid19 bagi membendung Virus Corona dari terus menggila.

Namun, apa yang kurang dijangkakan dalam kita menghadapi kemelut Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini adalah berlakunya peningkatan mendadak dalam kes-kes keganasan rumahtangga. Ini disahkan  oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres yang menyatakan kes keganasan rumahtangga berada di tahap yang “membimbangkan” semasa tempoh arahan PKP berlangsung. Perintah duduk di rumah (berkurung) berikutan pematuhan kepada perintah kawalan ini telah membuka banyak ruang dan peluang bagi pemangsa sedia ada untuk lebih mengganas dan bertindak mendera mereka yang berada dalam jagaan mereka. Ia membentuk satu lingkaran yang amat mengerikan. Walaupun data dari rekod panggilan ke Talian Kasih di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak menunjukkan peratus yang besar namun ia perlu diambil perhatian, keprihatinan dan tindakan segera. Apa yang dibimbangi ialah jika tidak di tangani, kes yang sedikit akan menjadi besar dan mengesani wanita dan keluarga terbabit.

Secara asasnya, keganasan rumahtangga ialah satu pola tingkah laku ganas, dera, paksa bagi tujuan mengongkong, mengawal dan menguasai mangsa (tunjuk kuasa). Proses ini menggandakan kuasa pemangsa dengan cara mendera dari sisi fizikal, emosi, psikologikal, seksual, sosial dan kewangan sehingga boleh mengakibatkan kecederaan fizikal, emosi, dan mental pada mangsa. Dalam isu ini, paling malangnya ialah mangsa utama dan yang kejadian kerap berlaku dari dalam kalangan wanita dan kanak-kanak. Sedangkan mereka paling berhak mendapat perlindungan ketua keluarga dalam menjalani kehidupan seharian. Wanita dan kanak-kanak yang berstatuskan mangsa keganasan rumahtangga adalah satu kebejatan yang merentas benua dan bangsa (PBB, April 2020).

 

Menurut Ketua Pengarah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Dato’ Dr. Hj. Mohd Naim b. Hj. Mokhtar, dalam konteks negara kita, peratusan tinggi kes keganasan rumahtangga yang ditangani oleh mahkamah-mahkamah syariah seluruh negara ialah kes keganasan suami terhadap isteri dan anak-anak. Sungguhpun kes keganasan yang dilakukan isteri terhadap suami wujud namun peratusannya adalah sangat kecil. Dalam membicarakan situasi yang mengusarkan ini, Dato’ Dr. Hj. Mohd Naim, menekankan bahwa keganasan rumahtangga ini adalah satu kemungkaran yang wajib dihentikan serta merta dan keperluannya sangat mendesak. Beliau memetik satu hadith Nabi S.A.W., dari Abu Said Al-Khudri r.a,

من رأى منكم منكرا فليغيره بيده ، فإن لم يستطع فبلسانه ، فإن لم يستطع فبقلبه ، وذلك أضعف الإيمانرواه مسلم 

“Barangsiapa yang melihat sesuatu kemungkaran, hendaklah dia mencegah kemungkaran itu dengan tangannya. Sekiranya tidak mampu, hendaklah mencegahnya dengan lisan. Sekiranya itu juga tidak mampu, hendaklah dia mencegahnya dengan hati, dan itu adalah selemah-lemah iman. ”

Sekilas pandang, kesan akibat keganasan rumahtangga ini tampak hanya menjejaskan kesejahteraan individu mangsa/wanita/isteri yang diganasi atau didera. Namun apabila direnungi dan dianalisa, mangsa sentiasa hidup dalam ketakutan dan tekanan. Fenomena  ini boleh  menjangkiti dinamika institusi kekeluargaan secara khusus tetapi secara kolektifnya juga menjejaskan keharmonian sesebuah komuniti dan masyarakat setempat. Masyarakat yang pincang akan memberi kesan yang bukan sedikit kepada keutuhan dan kekuatan Negara.

Menurut Dato’ Dr. Hj. Mohd Naim, keganasan terhadap isteri adalah satu perbuatan jenayah dan mengikut perundangan negara, jenayah ini boleh didakwa di mahkamah di bawah kanun keseksaan. Ia mesti dihentikan dengan kadar segera dan penjenayah yang sabit kesalahan mesti dihukum sewajarnya. Justeru itu, mengikut beliau, selain daripada bantuan yang dihulurkan untuk mangsa, kita juga harus turut membantu pemangsa/pelaku kes keganasan, berasaskan sebuah hadith dari Anas r.a., Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud,

“Bantulah saudara kamu yang menzalimi atau dizalimi. Tanya sahabat, Ya Rasulullah, bagaimana dengan membantu mereka yang menzalimi? Jawab Rasulullah, “Dengan kamu memegang kedua tangannya.”

Kata beliau lagi, “Suami atau bapa yang mendera isteri dan anak-anaknya, mereka ini adalah orang-orang yang zalim, yang menzalimi. Mereka ini perlu dibantu oleh mereka yang dizalimi.”

Bagaimana caranya?

Membantu suami yang mendera isteri tidak bermaksud “isteri terus menjadikan dirinya atau anak-anaknya sebagai “punching bag” bagi suami,  hanya berserah diri apabila tubuh badan dipukul secara fizikal dan emosi ditekan samada secara verbal dan manipulasi  mental.

Menurut pengalaman beliau dalam kes-kes di bawah seliaan dan pemantauan mahkamah syariah, terdapat beberapa golongan wanita berstatus isteri yang mengambil pendekatan, Allah S.W.T. telah takdirkan kita bersuami yang begini (bersifat pendera), kita redha.

Bukan begitu caranya. Ini pendekatan yang salah, pendekatan yang diambil tidak berdasarkan ‘ilmu yang sahih.  Kita ingin meyakinkan kaum wanita dan para isteri, bahawa tubuh badan kita adalah amanah yang diberikan oleh Pencipta kepada kita dan kita bertanggungjawab ke atas amanah ini. Tubuh badan dan anggota badan kita adalah milik mutlak Allah S.W.T. Hadith Nabi S.A.W., yang bermaksud,

“Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab menunaikan hak tubuh badan kamu.” (Riwayat Bukhari)

Pada diri wanita/isteri dan anak-anak, setiap juzuk dari kejadian yang telah Allah swt berikan itu adalah hak jasad itu sendiri. Sekiranya berlaku sebarang penderaan oleh suami, seperti isteri ditumbuk setiap hari, isteri dirotan dengan tali pinggang tanpa sebab yang munasabah, dipaksa memberi duit (isteri bekerja) tetapi si isteri enggan mengalah kerana mungkin  tujuannya hendak membeli rokok dalam tempoh PKP ini, maka kita/isteri  hendaklah melawan dan mempertahankan hak kita. Melawan dan enggan tunduk ini menyebabkan suami yang panas baran hilang pertimbangan, mengambil keputusan menumbuk isteri, merotan isteri seluruh badan. Kita berhak melawan dan mencegah perbuatan zalim yang dilakukan oleh seorang suami.

Suami tidak dibenarkan (dari segi syarak) untuk terus mendera isteri dan perbuatan menzalimi isteri itu mesti dinoktahkan. Pada masa yang sama, isteri tidak boleh mengambil pendekatan berdiam diri kerana ia seolah-olah isteri tidak mencegah satu kemungkaran yang sedang berlaku keatas dirinya.

Isteri mempunyai hak tubuh badan untuk dijaga dan disayangi oleh seorang suami yang bertanggungjawab. Namun sekiranya, tubuh badan wanita/isteri dijadikan “punching bag” dipukul oleh suami sepanjang tempoh PKP ini, puan perlu bertindak segera! jangan mendiamkan diri.

Sekiranya kita mengambil pendekatan begini, “Ini adalah ujian dari Allah, saya tidak perlu buat apa-apa, lagi banyak saya sabar lagi cepat saya masuk syurga”, ini adalah pendekatan yang salah. Kita harus bantu wanita/isteri ini, kerana kejahilan mereka terhadap hak-hak seorang isteri/wanita. Demikian juga suami-suami yang tanpa malu dan tidak segan-silu menyakiti isteri mereka, adalah manusia yang berpenyakit.

Bagaimana isteri yang melalui penderaan dan keganasan oleh suami boleh bertindak?

1.      Minta bantuan luar.

Konsep ta’awun atau kerjasama dalam Islam. Islam mengharuskan mangsa untuk meminta bantuan dari luar. Anggapan stereotaip dalam masyarakat kita selama ini bahawa urusan rumahtangga tidak harus diperkatakan secara terbuka, oleh kerana itu maka ramai mangsa dera dalam rumahtangga keberatan mencari bantuan yang sedia ada di luar. Ada pelbagai talian hotline yang menawarkan bantuan kaunseling dan khidmat nasihat serta agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta NGO-NGO khususnya dalam tempoh PKP ini yang sentiasa bersedia membantu menyediakan rumah perlindungan, bantuan undang-undang dan perubatan.

2.      Setelah keluar dari rumah, puan perlu membuat tiga laporan penting.

i.          Laporan Perubatan.

Setelah mendapat bantuan untuk melepaskan diri dari pemangsa dan keluar rumah, mangsa hendaklah segera ke mana-mana klinik kesihatan bagi menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mendapatkan dokumen sah laporan perubatan. 

ii.         Laporan Polis.

Bergerak ke mana-mana balai polis untuk membuat aduan dan laporan atas keganasan yang berlaku. Ianya penting kerana ia sebagai dokumen untuk mangsa dilindungi dari keganasan lanjut oleh pendera atau pemangsa. 

iii.        Laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Laporan ini bagi mendapatkan khidmat nasihat undang-undang atau rumah perlindungan sementara. Di bawah Akta Keganasan Rumahtangga (Pindaan ) 2017, mana-mana mangsa yang mempunyai risiko untuk terus dicederakan atau didera secara fizikal boleh memohon Perintah Perlindungan Sementara – Kecemasan (IPO – Interim Protection Order) dari JKM daerah. Perintah ini boleh dikeluarkan oleh pihak JKM pada bila-bila masa.

Satu persoalan yang sering timbul dalam kalangan masyarakat kita adalah, Adakah isteri yang lari keluar dari rumah itu dianggap isteri yang nusyuz?

Sekiranya suami pendera mengatakan isteri (yang didera) keluar dari rumah tanpa kebenaran suami adalah satu perbuatan ‘nusyuz’, ini adalah salah! Isteri dituntut untuk menyelamatkan diri dari penderaan kerana menyelamatkan diri atau jiwa itu adalah sebahagian dari Maqasid Syar’ieyah, dan termasuk dalam kategori hifz an-nafs, menjaga nyawa.

Para suami tidak boleh menggunakan nusyuz ini sebagai senjata untuk mereka bertindak sesuka hati menzalimi isteri tanpa membolehkan isteri melepaskan diri dari keganasan, penderaan, kongkongan dan dominasi mereka. Sekiranya ada keperluan mendesak  untuk meninggalkan rumah demi menyelamatkan diri, maka kita boleh keluar dari rumah. Tidak menjadi masalah dan tidak berdosa. Tidak dianggap sebagai perbuatan nusyuz kerana kita menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa penderaan suami yang zalim.

Penjelasan ini sangat dinantikan oleh ramai wanita yang terus menjadi mangsa penderaan suami terutama sekali dalam situasi yang tertekan semasa tempoh PKP yang berlangsung sekarang ini.

Tiada alasan langsung untuk kita melindungi suami pendera yang melakukan penderaan fizikal atau emosi terhadap diri kita. Jangan biarkan diri kita ‘duduk di rumah’ menjadi bahan “punching bag” bagi suami zalim itu. Bertindak bijak dengan bersegera melangkah seribu langkah keluar dari rumah. Jangan berikan peluang kepada suami meneruskan penderaan sepanjang tempoh PKP ini.

Selaku ketua keluarga suami bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga amanah dari Allah S.W.T, isteri dan anak-anak, berakhlak yang baik, penuh kasih sayang, serta rasa pertanggungjawaban dan taqwa yang tinggi. Segala usaha, kesabaran, kepayahan dan jerih perih dalam berurusan dengan ahli keluarga dikira sebagai ibadah yang mulia di sisi Allah swt.

Membina keluarga yang berunsurkan sakinah, mawaddah wa rahmah adalah bertepatan dengan yang apa dituntut oleh Allah S.W.T. dalam mensyariatkan perkahwinan di antara seorang lelaki dan seorang wanita dan zuriat yang lahir dari pernikahan yang luhur itu.

Secara rumusannya, keganasan rumahtangga adalah satu bentuk jenayah yang boleh didakwa di Mahkamah. Semua pihak termasuk mangsa jenayah bertanggungjawab untuk menoktahkannya dalam kadar urgensi yang tinggi.

Keganasan yang disembunyikan berpotensi membusuk dan merosakkan unsur masyarakat terutama anak-anak mangsa. Beranggapan bahawa mangsa yang melarikan diri dari rumah dan dari suami yang mengganas itu adalah satu tindakan yang tidak mengikut lunas-lunas agama ialah satu konsep yang tersasar. Mangsa yang mengambil keputusan untuk menyelamatkan diri dari keganasan rumahtangga dengan cara melarikan diri dari rumah dan mengambil langkah-langkah keselamatan seterusnya adalah sesuatu yang dituntut mengikut syari’at Islam kerana ia juga merupakan salah satu tindakan mulia mencegah kemungkaran dari terus berleluasa.

Nota: Penulisan ini ditulis merujuk kepada ceramah-ceramah yang disampaikan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Dato’ Dr. Hj. Mohd. Naim b. Hj Mokhtar.

Penulis merupakan ahli PenaWan (Pertubuhan Penulis Isu Isu Wanita Nasional) dan mantan Pensyarah UTM-Johor Bahru.

[Sebarang pertanyaan boleh lah hunbungi melalui emel, pertubuhanpenawan@gmail.com atau hp 012-2292604/estahir@gmail.com]