Thu. Mar 4th, 2021

Pertubuhan Penulis Isu-Isu Wanita Nasional

Di Hujung Perjalanan

Di Hujung Perjalanan

Semakin hari semakin jauh aku berjalan
Meninggalkan jejak bak bayang-bayang
Jejak-jejak yang semakin terpadam
Tanpa meninggalkan bekas
Di atas dada bumi, atau
Di dalam lubuk hati

Aku terus berjalan dan berjalan
Memandang ke hadapan
Mengejar cahaya yang tampak berbalam-balam
Berbekalkan cinta dan harapan
Pada lambaian kasih dan sayang
Pada janji yang dititipkan
Pada keampunan yang amat didambakan

Perjalananku semakin menghampiri
Destinasi yang telah dimeterai
Kakiku kian lemah untuk melangkah
Tanganku kian longlai untuk menggapai
Padahal…
Kantung amalku masih kosong
Tabung pahalaku banyak yang lompong

Badanku menggigil
Hatiku bergetar
Air mataku berjurai-jurai
Bukan kerana sedih meninggalkan dunia
Yang memang bukan milikku
Atau sahabat dan saudara
Yang memang tidak memerlukan aku
Kerana aku hanyalah sebutir melukut
Keberadaanku tidak dirasai
Ketiadaanku tiada siapa yang rugi

Aku menangisi masa yang telah luput
Jalan panjang yang telah berlalu
Tiada lagi kesempatan untuk berpatah
Menambah bekalan yang amat-amat kurang
Namun perjalanan pasti diteruskan
Walau hanya berbekal penyesalan…

Ustazah Maznah Daud