Fri. Sep 24th, 2021

Pertubuhan Penulis Isu-Isu Wanita Nasional

Kilauan Pisau


Pisau diasah berkilau tajam
Silau mata memandang
Gelap pandangan
Cemas pernafasan
Bumi dipijak bergegaran berantakan
Langit seolah berkecai berserpihan

Sugul, hiba, pilu, duka merobek kalbu
emosi ku celaru.. harus kah begitu?
Kini kilauan pisau tajam pula
Mencakar-cakar fikiran, menguji Iman
Terasa getir semalam baru sahaja berlalu..

Di lembah gersang
Tiada kelibat insan tiada pohonan
Yang hadir cuma gunung batu-batuan
Bahang panahan matahari membakar memanggang
Rengekkan si comel, mencarik-carik perasaan keibuaan
Susu ibu kekeringan,
Kantung perut dicengkam kelaparan
Tekak kering tiada coretan
Ya Rahman..pasti ada bantuan dari Mu Tuhan..

Si kecil comel jadi taruhan
Gelisah, cemas, kebingungan
Berlari ibu ke bukit batu-batuan
Kiranya ada insan kesempatian
Kiranya ada kejiranan berdekatan
Kiranya ada pohonan di sebalik bukit dakian
Kiranya ada mata air penyambung harapan

Genting, lelah lesu diketepikan
Kaki digagahi jua mendaki batuan di hujung kiri kanan
Tetap tiada ketemuan ..
Mendaki berulang-ulang ke dua bukit batuan
Tidak putus harapan
Sambil bibir tak lekang bermunajat kepada Tuhan
Pasti ada keberkatan, Wahyu Mu Tuhan
Ditinggalkan bersama si kecil di bumi kering kontang

Si kecil menangis tak kesudahan kelaparan, kepanasan..
Duduk ibu cuba menenangkan
Kaki si comel ditendang-tendang, dihentak-hentak mahukan susuan
Dari mana mahu ibu gapaikan?
As-Somad, Engkaulah tempat pergantungan segala makhluk ciptaan

Woossh! Percikan air dari hentakan
Mengalir laju dengan keberkatan Rahmah Tuhan
Tersentak ibu dilingkari kegirangan dihujani kesyukuran
Subur tanah gersang menjadi sebutan
Makmur kota di lembah, di satu ketika gersang
Begitu lah ujian Tuhan
Kesabaran keyakinan pada NYA dibalas ni’mat berpanjangan
Menjadi telaga Iman

Aahh… ujian mendatang lagi, hati jadi luluhan
Kilauan pisau masih melibas2 jadi igauan
Perintah Tuhan, anak seorang harus dikorbankan
Dengan sembelihan kilauan pisau ayah yang tajam

Detikan jantung bernoktah seketika
Sempit dada kerana kerunsingan
Geletar jari-jemari kerana debaran
Mata berkaca kerana kehibaan
Kilauan pisau yang tajam
Menyinggah di leher anak yang taat perintah Tuhan
Ya Raheem Ya Rauf Ya Aziz, berilah aku kekuatan
Dari air telaga Iman

Getir semalam harus jadi pengajaran
Untuk terus bergantung pada Mu Tuhan Al-Lathiff Ar-Rahman
Walau aku ibu yang sakit melahirkan, lelah membesarkan
Engkaulah Tuhan Pemilik makhluk dan ‘alam
Wahyu Mu bukan mainan
Pasti ada keberkatan
Ku capai air dari telaga Iman
Redhaku pada Mu Ar-Rahman, merelakan mutiara hatiku jadi korban
Kilauan pisau ayah yang tajam

Dr Zairus Norsiah Azahar
5 Zulhijjah 1442
Johor Bahru