Mon. Oct 26th, 2020

Pertubuhan Penulis Isu-Isu Wanita Nasional

PenaWan Bantu Masyarakat Terkesan Covid-19

Tulisan oleh Hamisah Manan, timb pengerusi PenaWan

Sabtu, 9 Mei 2020 – Persatuan Penulis Isu-Isu Wanita (PenaWan) merupakan sebuah pertubuhan yang baru didaftarkan pada tahun lepas. Namun tidak bermakna pertubuhan baru ini berdiam diri tidak berbuat apa-apa bagi membantu masyarakat yang ramai terkesan dengan wabak covid-19.

Umum mengetahui Covid-19 benar-benar menghimpit kehidupan sesetengah golongan. Apatah lagi golongan B40 yang berpendapatan rendah dan yang bergantung kepada gaji harian.

Sehubungan itu, PenaWan telah mengadakan kerjasama dengan AJK Kebajikan Surau AL Azim Jalan Enggang Taman Keramat untuk membantu mereka yang terkesan.

Tidak betah melihat kesusahan kejiranannya, Penawan sebagai NGO yang cakna dengan nasib golongan ini terutama wanita telah membuat satu inisiatif bantuan yang dinamakan Sumbangan Rahmah Ramadan (SRR).

Hasil inisiatif ini, 50 buah keluarga yang terdiri daripada mereka yang bekerja sebagai buruh kasar, buruh bangunan, pemandu bas sekolah, pembantu kedai runcit, ibu tunggal yang bekerja sebagai pengasuh, peniaga gerai/warung nasi lemak, pembantu kedai, penjaja pasar malam, dan juga tukang cuci telah diberikan bantuan. Warga asing yang terkesan turut menerima bantuan.

Mereka yang menerima bantuan ini terputus bekalan makanan akibat PKP dan Covid-19. Ada yang dibuang kerja, dipotong gaji kerana tidak bekerja disebabkan PKP. Mereka ini juga tidak mendapat BPN atas sebab tidak berdaftar dengan LHDN.

“Alhamdulillah program Sumbangan Rahmah Ramadhan(SRR), telah mendapat sumbangan daripada pihak korporat, sahabat-sahabat lama saya dan juga daripada sahabat ahli Pertubuhan IKRAM Malaysia”, ujar Ir. Endok Sempo Tahir selaku Pengerusi Penawan. Beliau turut merakamkan terima kasih kepada yang menyumbang dan semanagat kejiranannya yang tinggi oleh Jawatankuasa Kebajikan Masjid Al Azim yang membantu mengagihkan sumbangan.

Penerima telah menerima bahan makanan kering seperti minyak masak, beras, gula, milo, tepung gandum, mee hoon, sardin, susu, ikan tilapia dan wang saku sebanyak RM100 untuk sebuah keluarga. “Sumbangan ini mungkin kecil tapi amat bermakna kepada mereka yang menerima sumbangan ini”, ujar beliau lagi.

Beliau berharap masyarakat Malaysia terus prihatin dan saling membantu kejiranan mereka yang berhadapan dengan kesukaran kesan covid-19 ini.