Tue. Nov 30th, 2021

Pertubuhan Penulis Isu-Isu Wanita Nasional

RETAK MENANTI BELAH -Adakah Pandemik Punca Bertambahnya Perceraian di Malaysia?-

“Abang, takkan sebab ni kita nak berpisah?”. Dilla merenung suaminya yang sedang bercekak pinggang.

Mata Azmi merenung tajam tepat ke muka Dilla seolah-olah meminta belas kasihan daripadanya.

“Abang dah lama fikir, sejak akhir-akhir ini nampaknya kita sudah tidak sehaluan”. Tegas Azmi.

“Apa yang tak sehaluannya bang? Cuba abang cakap terus terang. Atau ada betina lain…”.

Panggggg.

Belum sempat Dilla menghabiskan ayatnya tangan Azmi telah sampai ke pipi gebu Dilla yang telah basah dengan airmata.

Seputar kisah daripada puluhan kisah keruntuhan rumah tangga yang berakhir dengan perceraian. Kisah sedih ini berulang saban waktu tidak kira masa, status keluarga, ekonomi hatta usia perkahwinan itu sendiri.

Apakah Pandemik COVID-19 punca segala musibah ini? Menurut Puan Azlina Roszy Mohamad Ghaffar, Konsultan Psikologi Klinikal  dan juga CEO Pusat Psikologi Atfal Jannah mengatakan pandemik hanya pencetus kepada perkara yang sudah lama berlaku. Hal ini boleh diibaratkan retak menunggu belah.

Menurut beliau sejak 18 bulan yang lalu, sebanyak 71,806 kes perceraian telah direkodkan. Statistik menunjukkan peningkatan sebanyak 12% berbanding catatan pada tahun sebelumnya.

Antara beberapa faktor yang menjadi penyumbang kepada statistik perceraian keluarga Islam di Malaysia ialah:

1. Ekonomi

Wang bukanlah segala-galanya tetapi wang merupakan “minyak pelincir” bagi sesebuah rumah tangga agar berjalan dengan lancar. Pasangan perlu menguruskan kewangan mereka dengan baik agar nafkah isteri dan anak-anak tidak terabai.

Kenal pasti apakah punca kepada masalah kewangan yang dihadapi oleh sesebuah rumah tangga. Dengan mengenal pasti punca masalah, hal tersebut lebih mudah untuk dirawat.

2. Gangguan pihak ketiga

Gangguan pihak ketiga ini sangat sinonim dengan pasangan yang mempunyai teman istimewa di luar sana. Namun kadang-kala tanpa disedari gangguan orang ketiga ini datangnya daripada ibu bapa  atau adik-beradik, malah kawan-kawan pasangan berkenaan.

3. Penderaan

Kes penderaan terhadap pasangan bukan sahaja melibatkan fizikal tetapi juga melibatkan emosi. Kombinasi penderaan secara berterusan boleh mengakibatkan pasangan mengalami kemurungan atau penyakit  mental.

Suami atau isteri perlu belajar mengurus emosi dengan mendapat pertolongan sama ada daripada keluarga terdekat atau orang yang dipercayai. Adalah sangat bagus jika permasalahan ini juga dirujuk kepada kaunselor atau orang yang pakar.

4. Ketagihan

Ketagihan dadah, bahan pornografi, games, internet dan sebagainya menyebabkan berlaku pengabaian terhadap pasangan.  Hal ini biasanya dialami oleh kaum suami. Walaupun begitu terdapat segelintir isteri terlibat dengan ketagihan tersebut.

5. Mental

Ada pasangan mengalami masalah mental seperti kemurungan. Kadangkala hal tersebut telah berlaku sebelum pasangan mengikat tali perkahwinan. Isu ini perlu mendapat nasihat dari pakar seawal mungkin.

Puan Syafiqah Abdul Razak, Peguambela & Peguamcara, Peguam Syarie Tetuan Atiqah Syafiqah & Associates pula mengatakan pasangan yang hendak  berkahwin perlu jelas tujuan perkahwinan.

Apabila berlakunya konflik dalam rumah tangga, pasangan perlu meminta pertolongan. Pasangan perlu terlibat dalam sesi kaunseling. Sekiranya tidak berjaya, pihak keluarga pasangan perlu memainkan peranan untuk membantu pasangan berkenaan. Langkah seterusnya ialah dengan mengikuti sesi kaunseling di Pejabat Agama yang berhampiran.

Beliau seterusnya menekankan perlunya memberi nafkah kepada isteri dalam iddah dan nafkah anak secara berterusan.

Isteri perlu tahu hak-haknya dan suami perlu tahu tanggungjawab yang dia mesti tunaikan agar memudahkan urusan seterusnya terutama hadanah anak-anak.

Manusia secara fitrahnya suka bersosial. Kita perlu belajar sepanjang hidup bersama untuk berkomunikasi dengan pasangan secara berkesan. Komunikasi yang berkesan boleh menyelamatkan rumah tangga yang telah dibina. Sekiranya berlaku perceraian, jadikan bekas suami atau bekas isteri sebagai kawan baik demi anak-anak. Sekiranya sukar, benarkan bekas pasangan berjumpa dengan anak-anak.

Umumnya kita perlu belajar mengurus stres sebaiknya. Dapatkan atau bina sokongan sosial seperti ibubapa, adik beradik atau orang yang dipercayai.

Bercerai tidak semestinya tidak baik apabila berlakunya kemudaratan.  Situasi ini menunjukkan sifat rahmah dalam Islam itu sendiri.

-Tulisan Anisah Mat Asi-